Featured Jalan-jalan

Jom Cuti Ke Kunming, China

July 24, 2015

Tak kenal, maka tak cinta. Itu yang boleh aku gambarkan tentang destinasi percutian kali ini. Biarpun ia bukan perancangan sendiri, namun percutian ke Kunming, China pada awal Disember lalu melakar kenangan menggamit memori. Terima kasih kepada Air Asia Malaysia atas undangan.

Tak sangka destinasi kurang popular ini punya tarikan dan keunikkan sendiri. Mengambil masa penerbangan selama empat jam, Kunming menjanjikan suasana percutian mengasyikkan. Dengan suhu purata 15°C ke 23.1 °C sepanjang tahun, ibukota wilayah Yunnan ini digelar sebagai ‘The City The Eternal Spring’.

Jadi, bolehlah anda bergaya dengan kot-kot musim sejuk yang sudah lama tergantung di dalam almari itu. Satu lagi fakta yang anda harus tahu, kota yang terletak pada ketinggian 1900 meter dari paras laut ini dipenuhi dengan pelbagai jenis bungaan sehingga memberi lanskap alam mempesona.

WH2

Pemandangan menakjubkan dari puncak Western Hill.

Sepanjang enam hari, lima malam berada di Kunming banyak tempat-tempat menarik yang sempat aku lawati. Ada yang berada dekat dengan kota Kunming, ada juga yang mengambil masa sehingga empat jam perjalanan dengan menaiki bas.

Sebagai perkenalan kepada destinasi pilihan terbaru Air Asia ini, aku ingin berkongsi tentang ibu kota Kunming ini terlebih dahulu. Sejujurnya aku berasa cukup teruja untuk mengintai setiap inci wilayah ini sebaik sahaja pipi disapa dengan kedinginan cuaca Kunming. Maklumlah, cuaca di Malaysia selalunya panas terik. Jadi, apabila dapat bercuti ke tempat sejuk, seronoknya bukan kepalang.

Secara dasarnya, kota Kunming pesat membangun. Aku kagum dengan pembangunan ibukota wilayah Yunnan ini. Banyak bangunan pencakar langit yang megah berdiri. Arus trafik di ibu kota ini juga sangat sibuk. Selain dipenuhi dengan motosikal dan kenderaan lain, jalan raya di sini juga dipenuhi dengan pejalan-pejalan kaki.

Satu lagi perkara yang anda harus tahu, jalan-jalan di sini diselimuti dengan debu-debu merah yang datang entah dari mana. Jadi, andai kata anda alah dengan debu atau mudah diserang asma, lebih baik pakai topeng penutup hidung sebagai langkah berjaga-jaga.

Ke mana harus dituju?

Memandangkan wilayah Yunnan cukup luas untuk diteroka, kunjungan kurang dari seminggu tidak memungkinkan anda menjengah ke semua tempat-tempat menarik. Ini kerana perjalanan dari satu tempat ke satu tempat mengambil masa yang agak panjang.

Sebagai panduan kepada pengembara kali pertama, aku mencadangkan beberapa tempat yang mesti anda lawati. Nikmati keindahan alam, dan pelajari keunikkan budaya masyarakat di sini.

1) Pementasan Dynamic Yunnan

DY

Pertama sekali, jangan katakan tidak kepada pementasan seni Dynamic Yunnan. Seni persembahan muzikal ini dihasilkan, diarahkan, dan dikereografi oleh penari terkenal China, Yang Liping. Ia merupakan sebuah persembahan yang menampilkan kekayaan dan kepelbagaian budaya Yunnan.

Persembahan yang mengambil masa kira-kira dua jam ini menggabungkan teknik tradisional dan moden dengan hasil menakjubkan, mempamerkan keindahan seni wilayah ini. Tarian Burung Merak atau Peacock Dance adalah tumpuan utama kepada persembahan ini. Liuk-lentok tubuh Sang Penari cukup memukau. Pementasan bermula jam 8.30 malam pada setiap Isnin hingga Sabtu. Tiket-tiket pula berharga di antara RMB 140 ke RMB 200.

2) Western Hills

WH1

19 kilometer dari Kunming, terletak Western Hills yang menjadi sebahagian daripada rentetan pergunungan yang indah. Menjanjikan pemandangan indah, Western Hills memang popular di kalangan penduduk tempatan yang gemar beriadah.

Jika anda tidak cukup fit, tidak perlu susahkan diri. Ambil sahaja jalan mudah. Naik sahaja bas yang disediakan, kemudian naik van dan teruskan perjalanan ke puncak dengan menaiki buaian kabel. Memang menyeronokkan. Dengan udara sejuk, nyaman, mata asyik tertumpu kepada pemandangan menakjubkan. Rasa tidak puas berada di buaian kabel kerana terlalu leka.

Penduduk setempat menggelarkan pemandangan ini sebagai ‘The Sleeping Beauty’ kerana dari jauh ia kelihatan seperti perempuan cantik yang sedang berbaring dengan rambut menggurai ke tepian Tasik Dianchi,

Caj yang dikenakan untuk melihat-lihat kawasan ini ialah RMB40 untuk ke kawasan ‘Dragon Gate Scenic Sports, buaian kabel RMB25 dan jika memilih untuk turun menggunakan kereta kabel, anda perlu keluarkan wang lagi RMB40.

3) Daguan Park / Haigeng Park

Dari Western Hills, anda boleh singgah ke Daguan Park yang terletak di persisiran Tasik Dianchi. Menyingkap sejarah pembinaan taman ini ia sebenarnya hanyalah tempat untuk sami-sami Buddha menuntut ilmu.

Seorang sami bernama Qianyin telah membina sebuah kuil kecil pada 1682. Lapan tahun kemudian, pemerintah Wilayah Yunnan, Wang Jiwen tertarik dengan pemandangan alam yang indah di sini dan mula membina sebuah taman yang sehingga kini menjadi tarikan utama Kunming.

Jika anda berkunjung ke sini sekitar September ke Januari, anda akan melihat tasik di sini dipenuhi dengan burung-burung camar yang berhijrah dari Siberia. Bolehlah dapatkan makanan burung yang turut dijual di sini. Ketika memberi burung-burung makan, jangan lupa minta sesiapa rakamkan gambar ok.

 

DP2

Daguan Park dibuka pada setiap hari dari jam 8.30 pagi sehingga jam 6.00 petang. Yuran masuk sebanyak RMB 20 dikenakan bagi setiap pengunjung.

Satu lagi lokasi ‘happening’ untuk melihat kelibat camar ialah Haigeng Park. Lokasi ini sangat popular di kalangan penduduk tempatan mahupun pelancong luar negara. Kalau mahu dapat ‘shot’ terbaik bersama burung-burung camar, jangan lupa bawa makanan untuk mengumpan burung menghampiri anda. Tapi awas! Jangan terlalu leka, bila-bila masa sahaja anda boleh ‘dibom’ dengan najis burung ini. Mungkin boleh bawa payung untuk langkah berjaga-jaga.

4) Yunnan Nationalities Village

Yunnan Nationalities Village terletak di pantai timur Tasik Dianchi dan ia adalah tempat terbaik untuk pelancong mengenali budaya dan tradisi pelbagai kumpulan etnik di wilayah Yunnan. Untuk lebih jelas, perkampungan ini ala-ala Mini Malaysia dan Mini Asean yang terletak di Ayer Keroh Melaka.

AT

Mengikut perancangan awal, perkampungan ini akan mempunyai 25 buah perkampungan bebas. Namun begitu, ketika ini hanya kira-kira 20 buah perkampungan telah dibina. Selain daripada dapat melihat senibina rumah di setiap perkampungan, pelancong juga berkesempatan melihat beberapa persembahan tarian tradisonal atau majlis-majlis adat yang dipersembahkan dari masa ke semasa.

AT1

Perkampungan ini dibuka dari jam 8.00 pagi hingga jam 7.00 petang. Jika tidak menggunakan perkhidmatan pemandu, boleh naik bas atau teksi untuk ke sini. Tambangnya tidak mahal kerana ia terletak 7 kilometer sahaja daripada pusat bandar. Untuk masuk, anda perlu bayar RMB 45.00

5) Stone Forest

FS2

Terletak 90 kilometer dari kota Kunming, Stone Forest atau Shilin adalah lokasi pelancongan yang mesti dilawati. Menawarkan lanskap alam mempesona, hutan batu ini mempunyai keluasan 350 kilometer kaki persegi dan terbahagi kepada tujuh bahagian iaitu Lizijing Stone Forest, Naigu Stone Forest, Zhiyun Cave, Lake Chang , Lake Yue, Dadie Waterfall dan Qifeng Cave. Naigu Stone Forest telah digazetkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2007.

SF

Jika ingin meneroka kawasan berbatu ini, dinasihatkan anda memakai kasut yang sesuai untuk memudahkan pergerakan. Lebih baik datang awal pagi untuk mengelakkan kesesakan jika dihujung minggu atau musim cuti. Paling penting, jangan lupa bawa minuman mencukupi kerana banyak juga anda kena berjalan untuk mengintai setiap inci kawasan ini. Tapi jangan risau, terdapat juga kemudahan buggy untuk memudahkan pergerakkan.

Makanan Halal

Mencari makanan halal di kota Kunming bukanlah sesuatu yang rumit. Memang banyak restoran halal yang tersedia di sini. Sama ada yang mahal, mahupun warung-warung di tepi jalan. Cara yang paling mudah untuk mencari makanan halal ialah dengan mencari kawasan masjid. Ini kerana kawasan itu pasti didiami oleh ramai orang Islam.

Di sini aku ingin cadangkan supaya anda ke Masjid Ning Ching Zhen Shi (Masjid Yong Ning) yang terletak di tengah-tengah pusat bandar Kunming. Di sini terdapat restoran yang menyediakan pelbagai juadah yang membuka selera untuk sarapan pagi hinggalah makan malam. Jangan lupa menikmati ‘Crossing Bridge Noodle’ yang merupakan menu popular di wilayah Yunnan.

Hidangan ini disajikan dengan semangkuk besar sup panas mendidih yang mana bahan-bahannya telah diasingkan. Bahan-bahan sup ini selain daripada mi beras, terdapat juga sayuran, kepingan nipis daging dan ayam dan juga kepingan tauhu. Untuk menikmatinya, kesemua bahan ini perlu dicampurkan sekali. Rasanya memang enak, lebih-lebih lagi jika dicampur dengan pes yang disediakan! Bagaimanapun, saiz hidangan ini sangat besar. Semangkuk mi boleh dimakan untuk tiga orang. Tapi kalau sudah lapar sangat, mungkin anda boleh juga habiskan seorang.

Ok, nak tahu kenapa hidangan ini dipanggil ‘Crossing Bridge Noodle’? Mengikut cerita rakyat, hidangan ini mendapat nama berdasarkan kisah isteri seorang penjawat awam China yang gemar membawa makanan untuk suaminya yang tekun belajar bagi menghadapi peperiksaan kerajaan.

Setiap kali dia mahu menghantar makanan kepada suaminya itu, si isteri perlu menyeberangi jambatan dan dengan masa yang diambil, sup menjadi sejuk apabila sampai ke tangan suaminya. Dia kemudian memutuskan untuk memuatkan periuk tanah liat yang besar dengan sup mendidih dengan lapisan minyak di atas yang akan bertindak sebagai penebat dan menyimpan panas kuahnya.

Mi dan bahan-bahan lain yang disimpan di dalam bekas yang berasingan, dan apabila dia tiba di tempat suaminya, dia mencampurkan kesemua bahan ke dalam sup yang panas.

Mana nak shopping cenderahati?

Kunming bukan kota untuk membeli-belah seperti yang dijanjikan oleh kota Bandung, Jakarta, Bangkok mahu pun Guangzhou. Tapi, masih ada lokasi beli-belah yang menawarkan harga terbaik untuk ole-ole iaitu Daguan Ancient Town. Pelbagai barangan yang ditawarkan di sini seperti selendang kain kapas, selendang sutera, rantai kunci, hasil-hasil kraftangan penduduk tempatan dan banyak lagi.

Satu masalah untuk tawar-menawar di sini ialah, kekangan bahasa. Penjual di sini tidak memahami bahasa Inggeris. Jadi gunakan kalkulator untuk urusan pembelian. Jika tidak mahu berbelanja, bolehlah melihat-melihat struktur bangunan-bangunan lama yang masih dipertahankan sehingga kini.

Jika anda peminat baju panas atau jaket musim sejuk, Kunming adalah tempat untuk anda mendapatkan item fesyen ini. Sebabnya, harganya sangat murah dan boleh didapati dalam pelbagai gaya. Sebagai contoh, trench coat yang harganya di Malaysia mencecah RM399, di sana anda boleh beli pada harga RMB 300, iaitu kira-kira RM160 ke RM180.

Jadi tunggu apa lagi? Rancang percutian anda ke sini. Syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia menawarkan jadual penerbangan terhad iaitu hanya sekali sehari iaitu pada jam 1.05 tengahari dan penerbangan pulang pada jam 5.40 petang.

Tip

1) Sila bawa jaket / baju panas yang mencukupi. Kalau anda sedia berbelanja, boleh shopping di Kunming sahaja kerana koleksi baju panas di sini memang banyak. Paling penting jauh lebih murah dari Malaysia.

2) Bawa losyen dan pelembap wajah yang mencukupi. Item kecantikan ini sangat penting memandangkan udara di sini kering dan dingin. Kulit mudah kering lebih-lebih lagi jika tidak minum air mencukupi.

3) Lupakan sandal atau flip flop. Sebaliknya bawa atau pakai kasut yang sesuai. Sesuai dengan cuaca sejuk dan selesa dibawa berjalan jauh.

4) Sila bawa sebotol air mineral / minuman bersaiz kecil untuk ke mana-mana. Bukan untuk diminum, tetapi untuk kegunaan ke bilik air. Maklumlah tandas-tandas di sini tiada paip untuk membersihkan apa yang patut!

5) Satu lagi item yang mesti di bawa ke mana-mana ada ketika bercuti ke Kunming ialah tisu basah. Percayalah, banyak kegunaannya.

6) Urusan jual-beli di sini agak sukar kerana kekangan bahasa. Jadi kalau anda boleh berbahasa Mandarin baik gunakan kelebihan itu di sini. Kalau tidak, tawar-menawarlah gunakan kalkulator.

7) Jika anda tidak kisah dengan makanan kaki lima, apa kata cuba strawberi bersalut gula yang dicucuk seperti sate di sini. Secucuk harganya kira-kira RM3.00 ke RM5.00. Rasanya enak dan segar!

You Might Also Like