Featured Jalan-jalan

Minum Teh, Makan Scone Di Cameron Highland

October 3, 2015

Pejam celik, pejam celik, 2015 sudah pun nak sampai ke penghujung. Selalunya apabila hujung tahun ini, ramai yang menyemak baki cuti tahunan masing-masing. Termasuklah aku.

Memandangkan cuti aku masih agak banyak, aku pun mula plan percutian jarak dekat. Pilih punya pilih, aku pun pilih Cameron Highland sebab sudah tujuh tahun aku tak ke sana.

Sebelum mohon cuti, aku buat online research dulu tentang Cameron Highland. Hendak tahu situasi terkini. Maklumlah mesti banyak yang berubah. Bukan sekejap tempoh tujuh tahun itu. Hasil kajian online, aku dapat tip menasihatkan supaya jangan pergi ketika cuti panjang atau cuti sekolah. Sebabnya, lalu lintas sangat-sangat sesak pada waktu-waktu begini.

Dipendekkan cerita, aku pun bercuti ke Cameron Highland pada hari bukan cuti baru-baru ini. Pergi tidak lama pun, hanya 2 hari 1 malam. Sempatlah jenguk tempat baru yang sebelum ini aku tidak pernah singgah.

Perjalanan ke Cameron Highland mengambil masa kira-kira empat jam dari bandaraya Shah Alam. Aku dan soulmate memilih laluan Simpang Pulai sebab tak ‘selera’ hendak gunakan laluan Tapah yang kecil, berbelok-belok dan agak merbahaya.

Memandangkan percutian kali ini bertujuan untuk merehatkan diri, jadi aku pun pilih hotel yang aku rasakan mampu membangkitkan suasana nyaman dan tenang. Hasil carian di Internet, aku pilih Hotel De’ La Ferns yang terletak di Jalan Besar, Tanah Rata. Satu lagi sebab aku pilih hotel ini adalah kerana harga biliknya berpatutan. Untuk Suite Junior , cuma berharga RM300++ (Itu untungnya bercuti ketika orang sedang bekerja!).

20150501_101007

Melangkah masuk ke bilik, hati aku berbunga-bunga riang. Best memang best. Bukan indah khabar dari rupa. Suite yang dihias mengikut gaya tudor Inggeris ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu bilik tidur dan ruang rehat yang tersedia sebuah sofa & televisyen. Cukup selesa, mewah dan bersih! Pemandangan pun cantik.

20150430_152155

20150430_152110

20150430_184151

Pemandangan dari tingkap bilik 🙂

Oklah, cukuplah cerita pasal hotel ini. Bukan ulasan berbayar pun, duit poket sendiri. Kita cerita bab-bab lain pula. Tepat jam 5.00 petang aku cepat-cepat ajak my soulmate ke Hentian Teh Bharat yang terletak berhampiran Tanah Rata. Tak sabar hendak minum Teh Strawberry dan scone panas. Sedap!

20150430_173155

Sebaik sahaja sampai aku cepat-cepat melangkah ke dalam kafe sebab hendak cari tempat duduk terbaik. Nasib ada. Jadi fefeelinglah petang tu, minum teh sambil menikmati pemandangan ladang teh yang menghijau.

20150921_173023

Siap minum-minum, aku turun ke ladang teh untuk bergambar puas-puas. Kemudian barulah balik ke bilik semula untuk rehatkan badan& get ready for dinner.

Hidangan stimbot lazat

Kalau sudah sampai ke Cameron Highland, jangan sesekali lepaskan peluang menikmati hidangan stimbot. Menu ini bolehlah dikatakan hidangan wajib kepada setiap pelancong yang datang ke sini. Mungkin kerana faktor cuaca sejuk serta sayuran-sayuran segar yang mudah didapati di sini.

Dalam banyak-banyak restoran / kafe yang menyediakan hidangan stimbot, aku pilih yang dihidangkan oleh Restoran Ferns, Hotel Rossa Passadena, Brinchang. Sebabnya, ramai sangat yang rekomen. Selain itu, sebabnya dapur restoran ada sijil pengesahan Halal Jakim. Harga pun berpatutan, RM25 jer untuk satu set dewasa.

20150430_202731

Macamana pula rasanya? Hrm….lulus ujian piawaian aku yang memang hantu stimbot ini. Sup Tomyam secukup rasa. Saiz hidangan pun memuaskan (sampai tak habis makan). Tapi ada sedikit kekurangan, sayuran hijau tidak ‘meriah’. Penggemar sayur mesti kecewa. Apa pun, daripada 5 bintang, aku bagi empat bintang untuk hidangan stimbot kat sini.

Cameron Lavender

Sebenarnya Cameron Highland memang banyak tempat menarik yang boleh dilawati di sini. Tapi ada satu tarikan terbaru yang aku nak kongsikan di sini iaitu Cameron Lavender. Aku pun tak pasti bila sebenarnya tempat ini dibuka sebab sudah lama sangat tak ke pusat peranginan tanah tinggi ini.

Cameron Lavender ini terletak di Tringkap. Maknanya kalau anda menggunakan laluan Simpang Pulai, tempat ini antara tarikan yang awal-awal anda akan jumpa. Hendak masuk ke sini, anda perlu membayar RM6.00 untuk dewasa, dan RM4.00 untuk kanak-kanak.

20150501_135216

Aku rasa Cameron Lavender ini berbaloi untuk dilawati. Seronok dapat melihat bunga-bungaan segar yang menghiasi segenap taman. Walaupun dinamakan sebagai Cameron Lavender, tetapi banyak lagi bunga-bunga lain yang turut ditanam di sini. Dekorasi taman memang menjemput aku untuk bergambar puas-puas. Selain boleh petik Strawberi, boleh juga petik bunga-bunga segar di sini.

lavender

Sebelum balik, bolehlah jengah kedai cenderamata yang menjual pelbagai jenis barangan. Aku suka sangat dengan Teddy Bear yang dijual, tapi tak beli pun sebab nak save budget. Last-last beli Lavender Shower Cream, RM25.00. Oklah tu, sebab dah banyak borong Teh Strawberi.

You Might Also Like