Selalunya kalau mahu bercuti, apa perkara pertama yang terlintas di fikiran korang? Macam aku ini, aku suka sangat dengan percutian pantai. Kalau tak dapat ke pantai, aku pilih percutian yang punya suasa romantik atau kota yang menjanjikan keseronokkan membeli-belah. Memang tak pernah rancang percutian lasak pun! Aktiviti-aktiviti lasak yang aku buat sebelum ini semua atas jemputan atau yang dirancang oleh teman-teman. Entri kali ini aku ini berkongsi pengalaman melakukan aktiviti meneroka Gua Kandu dan White Water Rafting di Gopeng, Perak.
Lokasi percutian ini tak jauh pun. Dekat sahaja. Kira-kira 3 jam perjalanan dari Kuala Lumpur. Kedua-dua aktiviti ini bukan tidak pernah aku cuba, tetapi kali ini pengalamannya berbeza. Terima kasih kepada Gaya Travel Magazine & Tourism Perak atas undangan mengikuti Perak World Of Wonders Media Trip 2016 baru-baru ini.
Aktiviti meneroka Gua Kandu bermula di sebelah pagi sebelum kami semua dibawa meredah Sungai Kampar.
Penerokaan Gua Kandu bermula dengan dengan sesi taklimat keselamatan kepada semua peserta terlibat. Menurut kakitangan Nomad Adventure yang bertanggungjawab membawa kumpulan kami masuk ke dalam gua, kami perlu berhati-hati dan kerana tiada laluan pejalan kaki khas yang disediakan. Malah, tiada juga lampu yang dipasang di dalam gua. Pesannya lagi, jangan sesekali terpisah dengan rakan-rakan. Setiap orang harus saling menunggu dan membantu.
Dek kerana ini kali pertama aku mahu menjengah ke Gua Kandu, aku memilih untuk berada di barisan hadapan, dekat dengan guide yang membawa kami. Kononnya senang sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.
Sebaik sahaja memulakan perjalanan, aku sudah menjangkakan cabarannya. Pertama, suasana yang gelap gelita memang agak mencemaskan. Aku memang fobia dengan tempat gelap. Kedua, laluan yang perlu dilalui bukan mudah macam kacang. Perlu loloskan diri di ruang kecil, berdebu dan tidak ketinggalan kami perlu mendaki dan menuruni cerun gelap setinggi 50 hingga 80 kaki. Rasa cuak memang ada, tapi aku berjaya lakukan.
Menurut guide kami, GUA Kandu dahulu pernah dijadikan pejabat pentadbiran tentera Jepun dan juga tempat persembunyian pengganas komunis selepas perang tamat pada tahun 1945. Lukisan lambang bintang tiga dapat dilihat di dinding gua ini.
Selain dapat melihat tinggalan sejarah ini, kami juga berkesempatan melihat keindahan stalagtit dan stalagmit yang bercantum lalu membentuk pelbagai bentuk arca di segenap penjuru gua itu. Malah terdapat sebuah batu yang bentuknya mirip kanak-kanak yang menurut kepercayaan penduduk tempatan adalah Kandu, budak lelaki yang cipercayai hilang di dalam gua itu.
Kemuncak penerokaan Gua Kandu tiba di penghujungnya apabila kami perlu melakukan Flying Fox dan juga menuruni bukit curam untuk menamatkan eksplorasi. Memang ada laluan alternatif lain, tetapi aku memilih laluan ini kerana ia cukup mengujakan. Ini peluang untuk aku menjerit sekuat hati! Lepas stress! Percayalah nikmatnya memang best.
Pada sebelah petang selesai makan tengah hari kami beramai-ramai menaiki lori untuk memulakan aktiviti lasak White Water Rafting. Memandangkan ini kali ketiga aku menyertai aktiviti sebegini, perasan cemas memang tidak lagi.
Aku hanya tersenyum melihat gelagat peserta-peserta lain yang gusar dan bimbang. Ada yang berpesan, jangan biarkan bot rafting terbalik, jangan melalui laluan yang sukar dan macam-macam lagi.
Kira-kira 10 buah bot rafting digunakan dan setiap bot menempatkan empat orang peserta dan seorang instruktor. Instruktor inilah yang akan beri arahan kepada ‘anak-anak kapal’ untuk mengemudikan bot. Aku berada satu bot dengan Marini dari www.marinimz.com, Sham dari Gaya Travel Magazine dan Edgar, blogger dari Filipina, www.eazytraveler.net.
Memang seronok mengemudikan bot dengan mereka ini. Penuh kelucuan. Terma atau arahan yang paling popular sepanjang eksplorasi ini ialah Jump! Jump!, dan Bum! Bum! Untuk Jump! Jump! Kami semmua perlu melompat-lompat semampu boleh untuk mengelakkan bot tersangkut di kawasan berbatu. Untuk Bum! Bum! pula, kami perlu duduk ditengah-tengah bot ketika melalui jeram.
Setengah jam pertama memang masing-masing seronok dan bersungguh-sungguh mengendalikan bot. Menginjak ke satu jam perjalanan, masing-masing sudah kepenatan. Arahan yang diberikan oleh instruktor seakan-akan tidak didengari. Malah, badan terasa berat untuk bergerak ke sana-sini. Disuruh ke kanan, tetapi bergerak ke sebelah kiri. Di suruh Jump! Jump! masing-masing buat-buat tak tahu. Pancit!
Mujurlah instruktor bot kami itu baik hati dan sabra. Langsung tidak marah. Memang perjalanan kami petang itu agak memenatkan kerana paras air agak rendah. Jadi banyak batu yang timbul sehingga melambatkan perjalanan. Walau apa pun, keseronokkannya tetap dinikmati. Terima kasih kepada Nomad Adventure yang sanggup melayan kerenah setiap peserta yang manja-manja!
Kredit foto : Gaya Travel Magazine