Featured Jalan-jalan

Jalan-Jalan Bandung Tanpa Shopping

May 23, 2016

April lalu ada insan yang baik hati menaja percutian ke Bandung. Aku bab-bab berjalan ini memang suka sangat. Pantang diajak. Memandangkan sudah agak lama tidak menjejak kaki ke Bandung, aku agak teruja juga sebab sudah lama tidak memanjakan lidah dengan kuliner Bandung.

Selama empat hari tiga malam di Kota Kembang, aku dan travel partner memilih tidak menghabiskan masa dengan menjenguk lokasi-lokasi beli-belah yang menjadi tarikan kepada kebanyakkan rakyat. Sebaliknya, kitorang buat keputusan untuk melawat beberapa tarikan terbaru yang belum pernah ditakluki.

Sebelum bertolak ke Bandung, aku sudah tanya ‘En.Google’ tentang beberapa perkara yang aku ingin tahu. Oleh kerana kitorang mengimpikan sebuah percutian yang santai-santai dan tidak memenatkan, jadi aku tak mahu sumbat banyak-banyak lokasi untuk percutian singkat itu. Next time boleh datang lagi dong!

Untuk entri kali ini, aku nak kongsi tentang dua tarikan menarik di sekitar daerah Lembang, Bandung. First, Floating Market Lembang & second, Farmhouse Susu Lembang. Kedua-dua tempat ini agak baru dan masih ramai yang belum sampai ke sini. Jom baca apa yang menarik!

Floating Market Lembang

FloatingMarketLembang

Floating Market Lembang merupakan pusat jualan makanan yang menghimpunkan pelbagai makanan Indonesia yang menjadi kegemaran ramai. Biarpun namanya Floating Market, tetapi pengunjung tak perlu pun naik sampan untuk membeli makanan-makanan yang dijual. Cuma perlu jalan dari hujung ke hujung. Sampan-sampan dah siap parking konsepnya. Ada sedikit persamaan dengan Floating Market Hatyai.

Ikut nafsu semua benda aku nak beli. Antara makanan yang terjual adalah seperti Bakso Bakar, Tahu Susu Lembang, Gado-Gado, Lontong Kari Sapi, Es Pisang Ijo, Pisang Goreng Keju, Rojak, Kentang Goreng, Soto Bandung, Otak-Otak, Martabak Mini dan banyak lagi.

FloatingMarket_food

Nasib baik aku hanya tukar syiling sebanyak Rp50,000. Kalau tidak, memang berlaku pembaziran. Untuk pengetahuan korang, untuk berbelanja di Floating Market Lembang ini, pengunjung perlu menggunakan syiling yang disediakan oleh pihak pengurusan. Syiling yang telah ditukar tidak boleh dipulangkan kembali. Oleh itu, jangan buat tukaran dalam jumlah yang banyak.

DSC01588

Harga tiket masuk ke Floating Market Lembang cukup murah iaitu Rp. 15,000 sahaja. Tiket ini pula boleh ditukar dengan minuman percuma seperti Kopi, Teh Limau Ais, Cappuccino atau Coklat Panas.

Farmhouse Susu Lembang

Farmhouse

Farmhouse Susu Lembang ini baru sahaja dibuka pada penghujung 2015 tempoh hari dan ia menampilkan sebuah perkampungan bernuansa Eropah, sesuai dengan cuaca Bandung yang nyaman.

Tiket masuk berharga Rp 20.000 untuk setiap orang. Caj parkir untuk kereta Rp10,000, manakala motosikal pula berharga Rp5.000. Tiket-tiket ditukar dengan sebatang sosej ataupun secawan susu segar berperisa Mocha, Strawberri Vanilla, atau Pisang.

Sebab utama aku mahu ke sini adalah kerana kewujudan rumah Hobbit. Maklumlah hendak ke New Zealand, ongkosnya masih belum cukup. Biarpun tidak ada perkampungan Hobbit seperti yang dipaparkan dalam filem Lord Of The Ring, tetapi memadailah dapat bergambar di hadapan rumah comel seperti yang dimiliki oleh Frodo dan Bilbo Baggins.

 

Hobbit

Secara peribadi, aku anggap Farmhouse Susu Lembang ini menjanjikan pengalaman mengasyikkan. Banyak spot menarik untuk mengambil gambar. Cuma aku agak rimas kerana ketika di sini tempoh hari, pengunjung sangat ramai. Jadi, susah hendak bergambar. Ada sahaja gangguan.

Aku dan teman menghabiskan masa hampir 3 jam di sini. Memang banyak masa diperlukan untuk mengelilingi perkampungan yang terdiri daripada beberapa bahagian ini seperti restoran dan kafe, petting zoo, galeri, taman, dan juga kebun buah-buahan. Selain itu, kitorang berseronok dengan kostum pakaian ala Red Indian yang disewa dengan harga Rp50,000 untuk dua jam. Puas bergambar sakan dengan menghayati watak….. (jangan jealous ok).

FarmhouseSusuLembang_collage

Farmhouse_collage

 Bagi yang berminat untuk berkunjung ke sini, Farmhouse Susu Lembang dibuka pada setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam pada hari-hari bekerja. Sementara pada hujung minggu ia dibuka pada jam 9.00 pagi hingga jam 11 malam.

Selamat bercuti!

You Might Also Like