Ketika berlibur di Kota Bandung baru-baru ini, aku terlihat kedai makan dengan nama menarik ini, ‘NASI GORENG REMPAH MAFIA’. Dari dalam teksi aku perhatikan kedai makan ini penuh dengan pengunjung. So, aku tertanya-tanya adakah kedai makan itu cukup popular di kalangan warga Bandung dan adakah nasi goreng yang dihidangkan begitu istimewa?
Sampai di hotel, aku terus cari maklumat. Bukan susah pun, hanya di hujung hari. Menurut ‘En. Google’, restoran Nasi Goreng Mafia ini memang popular kerana ia menghidangkan beberapa jenis nasi goreng yang digoreng bersama rempah-rempah istimewa.
Lebih menarik lagi, setiap jenis nasi goreng di sini dinamakan dengan gelaran-gelaran samseng sepert God Father, Gangster, Yakuza, Badboyz, Preman, dan Triad.
Dengan info menarik ini, aku memang teruja hendak mencuba ‘NASGOR’ (singkatan untuk nasi goreng di kalangan orang Indonesia) istimewa ini. Bagaimanapun, hanya pada hari terakhir di kota Bandung aku dapat singgah kerana pada hari-hari lain, sibuk dengan aktiviti lain di luar kota.
Sebaik selesai check out, aku dan teman terus menuju ke Restoran Nasi Goreng Rempah Mafia yang terletak hanya beberapa meter dari Hotel Neo Dipatiukur. Oleh kerana jam baru menginjak ke pukul 12.00 tengahari, jadi pengunjung agak kurang.
Sebaik memilih tempat duduk berkenan, aku memerhati keadaan sekeliling. Dekorasi restoran biasa-biasa sahaja. Tidak ada yang istimewa.
Beralih ke arah kad menu di atas meja, membuatkan aku mula memberi perhatian sebab belum pernah mencuba makanan di sini lagi. Aku baca satu persatu menu yang tertera. Owh! Rupa-rupanya selain menggunakan gelaran-gelaran samseng, nasi-nasi goreng di sini juga ada tingkat kepedasan. Nak tahu apa apa tingkat kepedasannya?
Berikut pilihan tingkat kepedasan Nasgor Mafia :
1) Menenangkan – rasanya biasa-biasa sahaja. Boleh dimakan oleh semua golongan terutama kanak-kanak.
2) Menggoda – Tingkat kepedasan yang membuka selera.
3) Menyesakkan – Tingkat kepedasan yang membuatkan kita mahu meneguk air sebaik sahaja suapan pertama. Tetapi masih membuka selera kerana kehadiran rempah-ratusnya.
4) Merisaukan – Kalau mengikut beberapa ulasan sebelum ini, tahap kepedasan akan membuatkan sesorang itu berfikir sama ada mahu menghabiskan nasgor ini atau sebaliknya.
5) Menyesal – Kalau dah namanya menyesal, memang menyesallah apabila memilih tingkat kepedasan ini. Pasti makan sambil menangis.
6) Mematikan – Agak-agak anda berani tak mencuba tingkat kepedasan ini? Aku tidak mungkin. (Tak mahu mati ketika makan Nasgor, huhuhuhu!)
Untuk pilihan menu pula, ada Gangster, Badboyz, Triad, Bandit, Yakuza, Godfather, Brandal, Preman dan beberapa menu baharu Nasi Goreng Gila, Nasi Telur Kecap, Nasi Goreng Bawang, Ayam Penyet Sepedas Mantan dan Nasi Goreng. Setiap hidangan nasi ini punya rempah ratus rahsia yang membuka selera.
Ketika aku menjejak kaki ke Nasi Goreng Mafia di Jalan Dipatiukur, Bandung baru-baru ini, aku pilih Nasi Goreng Gangster dengan level kepedasan 3 – Menyesakkan. Nasi Goreng Gangster ini merupakan menu nasgor kegemaran atau ‘Primadona’ kepada pengunjung yang sering menjamu selera di sini. Daripada info yang diberikan, ia digoreng menggunakan 15 jenis rempah rahsia.

Nasi Goreng Gangster + Ayam Penyet
Sementara my travel partner pilih Nasi Goreng Yazuka dengan level kepedasan ke 2 –Menggoda. Menu ini menyajikan nasi goreng campuran rempah dengan urat lembu yang dimasak dengan cabai hijau yang dahsyat rasanya. (Nasib baik pilih level kepedasan nombor 2, kalau tidak pasti kepedasan teramat sangat dibuatnya.

Nasi Goreng Yazuka
Selepas merasa kedua-dua menu ini aku rasa jatuh cinta dengan Nasi Goreng Mafia ini. Rasanya enak banget dan tidaklah terlalu mahal. Iaitu di antara Rp 11,000 ke Rp 17,000. Tetapi kalau korang pilih untuk tambah telur goreng atau Ayam Penyet, akan ada penambahan harga.
Bagi yang belum pernah cuba Nasgor ini, aku sangat-sangat rekomen. Memang sedap! Selamat bercuti & menjamu selera!
Ops! Sebelum terlupa, Nasi Goreng Mafia ini punya banyak cawangan di Bandung, dan Jakarta. Selain itu ada juga di Bogor, Tangerang, Surabaya, Lampung, Bali, Manado, Malang, Garut & Tegal.