Kalau dulu, persinggahan aku di Kota Malang, Indonesia pada tahun 2013 adalah kerana ingin mengintai sang suria di Gunung Bromo. Tapi persinggahan kali ini adalah kerana ingin menjejak kaki di Ranu Kombolo, syurga dunia yang sering menjadi bualan ramai pendaki yang dalam perjalanan ke puncak Semeru, mahupun di kalangan mereka yang gemarkan aktiviti luar.
Kalau korang pernah menonton filem Indonesia berjudul ‘5 CM’, pasti korang ingat dengan keindahan alam yang dipamerkan sepanjang perjalanan lima sahabat menuju puncak Semeru. Aku pun tidak malu mengaku, trip ke Ranu Kombolo ini terjadi gara-gara menonton filem yang dilancarkan pada 2012 ini juga. Plan punya plan, akhirnya aku, Nani & Helmi siap-siap untuk eksplorasi. Seorang lagi teman, Hendry sudah menunggu di Malang, Surabaya.
Perjalanan ke Ranu Kombolo bermula pada hari kedua kami di Kota Malang. Seperti yang dirancang kitorang bertolak dari hotel kira-kira jam 8.30 pagi iaitu selepas kenyang menikmati sarapan pagi yang agak terhad pilihannya di Hotel Solaris, Malang.

Muka happy selepas kekenyangan!
Dari hotel kitorang dijemput oleh pemandu yang sudah awal-awal lagi ditempah oleh Hendry untuk ke hentian jip bagi ke Desa Ranu Pani, yang merupakan gerbang ke Ranu Kombolo mahupun ke Gunung Semeru yang memiliki ketinggian 3676 meter di atas paras laut.
Sebaik tiba tiba di hentian jip, aku, Nani, dan Helmi sudah berasa teruja dengan perjalanan yang bakal ditempuhi. Begitu juga Hendry yang belum pernah menjejak kaki ke Ranu Kombolo walaupun dia anak jati Malang. Sebelum berangkat, kitorang sempat berkenalan dengan dua orang porter yang juga teman Hendry.

Sempat posing2 dulu. Aku ambik gambar Nani, Nani ambik gambar aku 🙂
Seorang bernama Arip, seorang lagi bernama Zainal. Aku kagum dengan diorang ini sebab walaupun berbadan kecil, beg yang dibawanya ya ampun! Lebih besar daripada mereka. Dalam beg mereka itulah ada sleeping bag & makanan untuk kitorang masak di Ranu Kombolo nanti. Heheheheh! Nak angkut sendiri memang tak mampu ler sebab hendak mendaki berjam-jam.
Dalam perjalanan ke Ranu Pani, kitorang singgah dahulu di sebuah klinik untuk dapatkan surat akuan kesihatan Tanpa surat akuan ini, jangan beranganlah hendak mendaki ke Ranu Kombolo. Pihak berwajib tidak akan membenarkan.
Selesai semua urusan barulah perjalanan diteruskan. Perjalanan ke Ranu Pani dengan jip mengambil masa kira-kira satu jam setengah dan akan melewati pemandangan alam yang mengasyikkan seperti Bukit Teletubbies. Hijau mempesona.

Bukit Teletubbies. Sorrylah sebab berkabus. Tapi pemandangan di sini memang cantik.
Sampai di Desa Ranu Pani, kitorang harus mengikuti briefing yang dikendalikan oleh sukarelawan yang membantu pihak berwajib di sana bagi memastikan setiap pendaki mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan. Daripada apa yang disampaikan, barulah aku tahu dalam masa sehari, hanya 500 orang pendaki dibenarkan mendaki di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru itu. Jika kuota sudah penuh, terpaksalah bermalam di Ranu Pani dan bertolak di hari yang berikutnya.
Trekking 5 Jam
Dipendekkan cerita, kitorang berlima memulakan perjalanan kira-kira jam 4.30 petang. Agak lewat sebab banyak bersantai-santai sepanjang berjalanan awal-awal tadi. Dek kerana itu, Arip sudah maklumkan kitorang akan menempuh kegelapan malam. Maklumlah kena trekking selama 5 jam. Whateverlah kan…… asalkan sampai. Kalau terburu-buru, trip jadi tak best pulak kan!

Semangat masing-masing. Cuba korang tengok saiz beg porter kitorang tu. Besar giler kan!

Sepanjang laluan trekking korang boleh menikmati pemandangan indah. Bunga-bunga putih ini pun cantik. Sorry tak pasti nama bunga ni.
Setengah jam pertama mendaki memang menguji ketahanan fizikal dan mental. Tercungap-cungap dibuatnya. Maklumlah sudah terlalu lama aku tak buat aktiviti mendaki ni. Panjat Bukit Broga pun kira-kira setahun lalu. Sebab itu bila sampai Pos 1 aku dan rakan-rakan lain cukup gembira.
Terus bersemangat untuk teruskan pendakian. Yang penting selfie, selfie & selfie! Semua sekali ada empat pos yang perlu dilalui sebelum tiba di Ranu Kombolo.

Pos 1 jer ketinggiannya sudah 2300 meter di atas paras laut.
Sambil melepaskan lelah di Pos 1, kitorang berempat membeli madu yang dijual oleh peniaga kecil di pos terbabit. Mahu terus bertenagalah katakan. Perjalanan diteruskan lagi dan kali ini trek agak mudah kerana tidak banyak mendaki. Jika ada pun, tidak terlalu curam. Jadi cepatlah juga kitorang sampai ke Pos 2.
Ketika sampai di sini perut aku dah berbunyi-bunyi kelaparan, apa tidaknya jam sudah menginjak ke jam 7.00 malam. Jadi keluarkan bekalan yang sempat dibeli. Makan biskut Tango. Dek kerana hari semakin gelap, porter kitorang Zainal minta teruskan perjalanan kerana lokasi Ranu Kombolo masih jauh lagi.
Kali ini kitorang mengambil masa kira-kira satu jam untuk sampai ke Pos 3. Sepanjang perjalanan kami berselisih dengan ramai pendaki yang mula turun dari Ranu Kombolo mahupun dari puncak Semeru. Melihat kitorang yang agak keletihan, masing-masing tidak lokek memberi kata semangat. Jadi, langkah kaki tidak terhenti kerana yakin ‘syurga’ menanti di hadapan.
Pos 3 akhirnya dijejaki selepas lebih sejam trekking naik turun, naik turun. Hari gelap, perut lapar, badan penat, semua benda ni memang menguji mental. Badan terasa bertambah penat apabila Zainal memberitahu trek di hadapan agak mencabar kerana perlu mendaki laluan menegak untuk ke Pos 4 sebelum sampai ke kawasan perkhemahan Ranu Kombolo.
Mahu tak mahu kena redah jugalah kan, takkan hendak berpatah balik. Pos 4 berjaya jua dijajah dalam masa kurang satu jam. Ketika ini kedinginan cuaca sudah mula terasa. Jari-jemari terasa membeku (drama ke tidak?). Dari situ kitorang perlahan-lahan turun. Ranu Kombolo sudah di depan mata.
Sementara menunggu Arip & Zainal mendirikan khemah dan menyediakan makan malam, aku menikmati keindahan langit yang dihiasi ribuan bintang. Cantik mempesona! Hilang segala penat lelah.
Malam itu kitorang menjamu selera dengan mi segera dan nasi putih berlaukkan ayam goreng & tempe goreng. Burp! Kenyang. Sebelum tidur, sempatlah mengintai-ngintai kawasan sekeliling. Ramai juga yang berkhemah pada malam itu. Masing-masing berbaju tebal kerana suhu cukup dingin. Seronok…. macam kat Europe pulak rasanya…..hahahahaha….
Mengintai Suria Pagi
Seawal jam 4.30 pagi aku dan Nani dah terpacak di luar khemah untuk menyaksikan keindahan sang suria yang mengucapkan selamat pagi. Lagipun mata tak mampu terlena kerana suhu yang terlalu sejuk. Padahal dah pakai baju 3 lapis + sleeping beg. Jadi, lebih baik bangun merakam memori. Boleh dijadikan kenang-kenangan. Lagipun, entah tahun bila pula hendak jejak kaki ke sini lagi.
Sayangnya matahari pagi itu agak terlindung dek kabus yang tebal. Tapi, pemandangannya masih indah… masih mempesona. Ketika ini memang ramai pendaki yang memegang kamera dan juga handphone masing-masing di tepian tasik. Masing-masing tak mahu ketinggalan. Samalah dengan kami berempat. Tak henti-henti berposing!

Damai mempesona. Dengan suhu yang dingin, kunjungan ke Ranu Kombolo memang berbaloi-baloi.
Acara bergambar sakan ini berpanjangan sehinggalah ke waktu sarapan pagi. Lepas sarapan, kitorang tak buang masa, cepat-cepat bergambar lagi. Semua sudut kitorang posing. Canvas alam di Ranu Kombolo memang sukar dilafazkan dengan kata-kata. Cantik sungguh bumi ciptaan Tuhan. Sesekali terasa diri berada jauh di negara ‘Mat Salleh’, tapi hakikatnya hanya di negara jiran, Indonesia.
Lepas puas bergambar kami mengemaskan barang-barang untuk bertolak pulang. Again, trekking for 5 hours. Tidak mengapa, seronok jer…. Sebab bertolak awal (11.00 pagi) jadi banyak kalilah kitorang berhenti mengambil gambar. Toleh kanan cantik, toleh kiri pun cantik.
So, agak-agak korang hendak tak menyaksikan sendiri keindahan Ranu Kombolo? Memang memenatkan, tetapi percayalah kepuasannya sukar dilafazkan dengan kata-kata. Selamat bercuti!

I can do it, you also can do it!