Jalan-jalan ke Perth, mesti kena singgah ke Fremantle, bandar pelabuhan yang terkenal dengan Fish & Chip menyelerakan. Kalau memilih untuk bermalam di sini, aku mahu cadangkan korang menginap di The Local Hotel yang terletak 282 South Tce, South Fremantle.
Berkonsepkan Boutique Pub Accommodation, hotel yang menawarkan 8 jenis kamar ini menjanjikan penginapan cukup selesa. Setiap kamar tampil dengan identiti berbeza yang menurut pemiliknya diilhamkan oleh dirinya sendiri serta teman-teman rapat.
Sewaktu aku ke sini tempoh hari aku memilih untuk bermalam di Kamar The Chester memandangkan hanya terdapat tiga kamar yang kosong. Aku pilih Chester sebab aku suka dengan susun atur bilik dan dekorasi Scandinavian yang ditampilkan.

Nice & cozy room. Suka dengan katil ni. Tilam & bantal buat tidur lena diulit mimpi!
Dua kamar lain yang masih kosong ialah The Snug Room dan The Corner Room. Kedua-dua kamar ini punya keistimewaan sendiri. Cuma aku jatuh cinta dengan The Chester sebaik sahaja dibawa melawat ke ketiga-tiga kamar terbabit. The Snug punya keluasan yang membolehkan anda berkelah di atas lantai manakala The Corner punya sentuhan sofisikated yang mungkin sesuai untuk eksekutif.

The Snug Room – kamar ini paling luas berbanding Chester Room & The Corner Room

The Corner Room – ringkas dan selesa
Ada 5 jenis kamar lagi yang boleh dipilih. Cuma aku tidak boleh bagi pendapat sebab tak tengok secara live (ada tetamu). Kalau tengok pada foto-foto yang dimuat naik di website hotel ini, semuanya cantik-cantik belaka. Jadi, korang pilihlah yang berkenan di hati. Harga kamar di hotel ini juga boleh dikatakan mampu bayar iaitu di antara AUD140 ke AUD180 semalam. Bergantung kepada hari dan musim.
Ada tiga perkara yang korang mesti tahu tentang The Local Hotel, hotel ini dilengkapi bar dan restoran yang terletak di tingkat bawah. Jadi suasana sebelah petang dan malam di sini memang meriah dengan pengunjung yang melepak sambil minum-minum dan melayan muzik.
Perkara kedua ialah, setiap kamar tidak dilengkapi dengan bilik mandi. Jadi, korang kenalah merajinkan diri ke bilik air yang disediakan di luar untuk urusan peribadi. Jangan risau kerana bilik air atau tandas yang disediakan masih memenuhi standart hotel. Cuma malam-malam tu ada sedikit gerun, lebih-lebih lagi kalau korang penakut macam aku!

Ruang melepak atau ruang menunggu yang tersedia di hadapan bilik air
Akhir sekali yang korang kena tahu ialah, ada restoran Itali (sorry tak ingat nama) yang terletak di seberang jalan hotel ini. Pizza dan pasta di sini sangat enak. Tapi restoran ini bukannya berstatus halal, so pandai-pandai pilih menu yang sesuai yer.
Happy travelling!
Foto by : @21zailan_traveller, Nikon D5500