Featured Tips

7 Tips Travel di Bulan Ramadan

May 26, 2017

Mungkin tidak ramai yang sanggup travel ketika bulan Ramadan. Selain bimbang keletihan, ramai juga yang merasakan travel di bulan puasa tidak berbaloi kerana aktiviti akan terbatas. Maklumlah tidak boleh makan dan minum seperti biasa.

Namun, travel di bulan Ramadan juga ada keistimewaannya. Terdapat hotel yang menawarkan potongan harga bilik sehingga 50 peratus, begitu juga dengan tiket pesawat. Tapi, korang kena pandai cari dan buat research sedikit. Satu lagi yang menarik tentang travel di bulan puasa ini, korang boleh lihat dan menikmati suasana puasa di tempat orang.

Aku pernah bercuti ke Jakarta di bulan puasa, memang seronok. Banyak juadah istimewa dijual ketika itu. Bila masuk ke shopping malls, cukup meriah dengan lagu-lagu raya yang semestinya lain daripada lagu-lagu di sini. Moreh di Jakarta juga cukup mewah. Aku dimaklumkan ketika itulah orang-orang kaya besar di sana bersedekah juadah. Suasananya memang menyeronokkan.

Jadi, kalau korang memang bercadang atau sudah pun punya tiket penerbangan untuk travel di bulan puasa, cuba semak tips di bawah untuk memastikan percutian korang nanti tidak menjadi sesuatu yang disesalkan!

1) Jangan tertinggal waktu sahur

Bersahur sangat penting untuk memastikan tubuh badan kekal bertenaga sepanjang hari. Kalau sudah namanya bercuti, tidak mungkin korang mahu melepak sahaja di bilik menunggu waktu berbuka. Jadi, untuk mengelakkan tubuh badan kepenatan, jangan tinggalkan sahur. Pilih makanan yang mampu memberi tenaga berpanjangan seperti kurma, roti serat tinggi, oats, pisang dan madu. Jangan lupa minum air secukupnya.

2) Jangan lupa periksa waktu imsak dan berbuka

Kalau bercuti ke luar negara, kenalah mengambil tahu tentang jadual berpuasa di sana. Mana mungkin sama dengan Malaysia. Jika ke negara jiran mungkin tempoh berpuasa tidak banyak beza, tetapi jika ke negara-negara musim sejuk, memang lain sangat. Jadi, buat persediaan yang sepatutnya.

3) Bawa bekalan air dan kurma

Kalau sudah terlalu asyik berjalan, tidak mustahil korang terleka sehingga menghampiri waktu berbuka. Bukan semua tempat mudah mencari restoran atau tempat makan. Cara terbaik, bawa bekalan air mineral dan kurma untuk menggalas perut sebelum menikmati hidangan lengkap.

4) Stok makanan halal

Jika lokasi percutian korang pilih tu sukar untuk mencari makanan halal, sebaiknya bawa stok makanan halal siap-siap. Antara menu yang boleh dibawa ialah serunding, sambal ikan bilis, mi segera, biskut dan makanan dalam tin yang sesuai. Kalau tidak dimakan ketika berbuka, mungkin korang perlukan ketika mahu bersahur. Makan di hotel sahaja, tak perlu susah-sudah mencari kedai. Lagipun kedai-kedai makan di luar negara bukan macam di Malaysia yang ada dibuka sehingga 24 jam.

5) Bawa supplements yang sesuai

Satu pilihan yang baik, jika korang boleh bawa bekalan supplements yang dirasakan sesuai untuk kesegaran tubuh badan. Mungkin boleh bawa vitamin C, multivitamin, spirulina atau minuman kesihatan yang lain.

6) Pilih aktiviti yang bersesuaian

Kalau sudah berpuasa, janganlah pilih aktiviti yang memerlukan ketahanan fizikal seperti hiking, water rafting atau meneroka gua. Nanti tidak pasal-pasal terpaksa berbuka puasa sebelum waktunya. Setakat aktiviti sight-seeing, pasti tidak menjadi masalah.

7) Nikmati percutian!

Walaupun sedang berpuasa, cuba nikmati percutian korang sepuas-puasnya. Jangan fokus sangat pada makanan atau minuman. Kalau perut berbunyi kerana lapar, buat-buat tak tahu jerlah…..(mampu ker?) Kalau aku caranya senang saja, sibukkan diri dengan bergambar. Aku sanggup tak makan, asalkan dapat gambar yang aku idamkan.

Selamat merancang percutian & selamat berpuasa okay!

 

 

You Might Also Like