Featured Ulasan

Amari Hua Hin Bukan Setakat Selesa, Layanan Juga Tip Top

December 17, 2018

Kali kedua menjejak Hua Hin, aku memang sudah simpan niat untuk memilih hotel untuk bermalas-malasan setelah sehari dua sibuk berjalan ke sana-sini. Google punya google, aku dan suami sepakat memilih Amari Hua Hin sebagai lokasi penginapan.

Biarpun hotel ini tidak terletak berhadapan pantai, namun kemudahan atau fasiliti yang tersedia membuatkan kami tertarik. Lagipun, ulasan atau review online cukup memberangsangkan. Ternyata pilihan kami tidak menghampakan. Puas hati dengan layanan dan servis yang diberikan petugas-petugas hotel.

Bertaraf 4.5 bintang, hotel ini menjanjikan keselesaan dan perkhidmatan eksklusif untuk setiap tetamu. Menampilkan seni bina kontemporari, Amari Hua Hin menawarkan enam jenis penginapan yang lengkap dengan kemudahan kelas pertama serta hiasan dalaman bergaya.

Pengalaman menyeronokkan bermula sebaik sahaja kaki kami melangkah masuk ke lobi hotel. Senyuman mesra petugas hotel menyambut kedatangan, lantas segelas minuman segar dan tuala hangat dihulurkan sebagai tanda kedatangan anda sangat dialu-alukan. Urusan daftar masuk hanya mengambil masa kira-kira 10 minit.

Ruang lobi yang menampilkan gaya mediterranean.

Melangkah masuk ke bilik, hati kami bertambah girang dengan penampilan bilik yang serba moden dan mewah. Seperti kebiasaan, kami sibuk merakam memori terlebih dahulu sebelum merebahkan diri ke atas katil. Biarpun pun badan penat, benda ini ‘wajib’ buat (hahahaha).

Setiap bilik di sini mempunyai balkoni persendirian. Jadi bolehlah bersantai dengan yang tersayang sambil menikmati secawan kopi atau teh. Jika mahu menikmati keindahan matahari terbit, pilih bilik yang punya pemandangan laut seperti Deluxe Ocean Facing View, Family Suite atau One Bedroom Suite. Jika tidak, bangun awal pagi dan panjangkan langkah ke pantai untuk menikmati magis alam ini.  Sesekali apa salahnya bukan?

Memandangkan Amari Hua Hin punya fasiliti spa, aku dan suami tidak lepaskan peluang untuk memanjakan diri. Maklumkan sepanjang tempoh 4 hari 3 malam di Hua Hin, kami memang sudah banyak berjalan ke sana-sini. Badan mula terasa penat, selain otot-otot mula stress.

Kami buat temujanji di Breeza Spa pada malam terakhir. Memang sebab utamanya mahu membelai diri, namun ada juga sebab lain iaitu sempena meraikan harijadi aku. Selesai berbincang dengan petugas spa, kami ambil rawatan yang menjadi signature treatment di sini, ‘Therapy Mood’ .

Therapy Mood cukup istimewa kerana ia merupakan rawatan urutan badan yang terdiri daripada pilihan Dreamy, Serene, Rejuvenated, Invigorated atau Energized. Aku pilih Rejuvenate, manakala suami pilih Energized. Dua jam di spa, kami melalai saat-saat yang cukup menggembirakan. Tubuh badan terasa lebih ringan dan bertenaga.

Selesai di spa, kami siap-siap ke Shoreline Beach Club yang terletak di tepian pantai Hua Hin untuk makan malam. Lokasi selera ini dicadangkan oleh pihak hotel ketika kami meminta cadangan untuk menikmati hidangan makanan laut (suka diingatkan, Shoreline Beach Club bukan berstatus halal yer).

Berlatarkan pemandangan laut, makan malam kami di sini cukup indah. Sambil menjamu selera, angin malam yang bertiup sepoi-sepoi bahasa membangkitkan selera. Dua menu yang kami cuba ialah Grilled Prawn and Pomelo Salad dan Seafood Grill. Kedua-dua menu yang berharga THB390 dan THB1450 ini menjanjikan letusan rasa yang cukup menyelerakan.

Kemuncak makan malam di sini ialah, aku dikejutkan dengan pemberian kek harijadi daripada pihak hotel. Apa tidaknya, sebelum membuat tempahan baik aku atau suami tidak pula berkongsi info yang kami ingin meraikan sambutan harijadi aku. Mula-mula ingatkan suami yang ‘bersekongkol’ dengan pihak hotel untuk kejutan, tetapi ternyata bukan.

Apa pun terima kasih kepada Amari Hua Hin atas ingatan itu. Truly appreciate (mesti diorang skodeng tarikh lahir kat passport).

Untuk maklumat lanjut atau tempahan bilik, sila layari  https://www.amari.com/huahin/

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.