Featured Jalan-jalan

Bawa Diri ke Utara Bali, Ada Munduk Moding Plantation Nature Resort & Spa

April 2, 2019

Setelah beberapa kali menjejak kaki ke Bali, kunjungan ke destinasi percutian popular itu baru-baru ini membawa aku ke Munduk Moding Plantation Nature Resort & Spa yang terletak di sebelah Utara Bali.

Jauh daripada kesesakan pelancong, Munduk Moding Plantation Nature Resort & Spa ternyata memenuhi impian aku yang mahu merehatkan diri dan minda. Bahkan, ini lokasi  ideal untuk terapi diri. Hanya nyanyian alam yang memenuhi segenap ruang. Tambah menambat jiwa kerana cuacanya dingin seperti di Cameron Highland. Pendek kata, it’s perfect.

Pemandangan resort dari udara

Menawarkan villa-villa percutian eksklusif, resort yang dibina di dalam kawasan ladang kopi ini sangat mementingkan privasi kepada setiap tetamu. Jadi jangan hairan, jika agak susah untuk bertembung dengan tetamu lain, kecuali pada waktu makan atau di kolam renang.

Sebabnya , ada villa-villa di sini turut dilengkapi kolam renang dan jakuzi persendirian untuk  memberi peluang kepada tetamu bermalas-malasan di kamar sendiri.  Sedikit info tentang pembinaan Munduk Moding Plantation Nature Resort & Spa, ia sebenarnya diilhamkan oleh seorang warga Eropah, Irene yang jatuh cinta dengan keindahan alam semulajadi Bali selepas bercuti di pulau itu pada tahun 2007.

Antara jenis-jenis villa yang tersedia ialah One Bedroom Pool Villa With Jacuzzi, Two Bedroom Pool Villa With Jacuzzi, dan Garden Suites. Setiap villa punya keistimewaan tersendiri di mana perekanya, Popo Danes, seorang arkitek Bali yang terkenal menggabungkan ciri-ciri seni bina Bali dan citarasa moden.

 

Bintang utama resort ini sudah pastilah kolam renang infinitinya yang terpilih sebagai Kolam Renang Infiniti ketiga terbaik di dunia oleh Asia Spa. Sambil bersantai bolehlah menikmati pemandangan panorama bukit-bukit, pergunungan dan juga laut Jawa.  Selain itu, jangan lepaskan peluang mengambil foto-foto terbaik di sini dan kongsikan di akaun media sosial. Percayalah, foto-foto yang terhasil pasti memukau.

Menikmati suasana sunset yang memikat jiwa!

Satu kelebihan bercuti di Munduk Moding Plantation Nature Resort & Spa ialah korang dapat mengikuti  Program Pengalaman MMP (MMP Experience Program) yang sudah termasuk dalam harga bilik.

Menurut petugas resort yang ramah diajak berbual, antara sebab pemilik resort memperkenalkan program ini kerana dia mahu setiap tetamu meninjau tarikan-tarikan yang berada berhampiran resort. Malah, dia juga mahu  memastikan keindahan budaya masyarakat Bali dapat dialami sendiri oleh tetamu.

Antara aktiviti yang tersedia ialah kelas memakai pakaian tradisional Bali, melawat ladang kopi, kelas bermain gamelan, dan kelas membuat layang-layang. Bagi yang tidak betah tinggal di resort sepanjang masa, boleh gunakan kemudahan shuttle pergi dan balik untuk melawat beberapa tarikan popular di sekitar Bedugul, serta beberapa air terjun berdekatan.

Penat berekreasi di luar, curi pula masa ke spa untuk memanjakan diri. Tempoh hari aku sempat mencuba rawatan Balinese Massage. Rawatan yang dimulakan dengan rendaman kaki ini menjanjikan kelegaan yang menyenangkan. Selama 60 minit tubuh badan diurut perlahan-lahan bagi melancarkan perjalanan darah dan membuang angin yang mengundang rasa letih tidak bermaya. Satu pengalaman yang cukup berbaloi.

Jadi, tunggu apa lagi? Cepat rancang percutian ke sini. Munduk Moding Plantation Nature Resort bukan sahaja sesuai untuk merehatkan diri, tetapi juga ideal dijadikan lokasi berbulan madu.

You Might Also Like

No Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.