Mencari lokasi penginapan yang ideal sangat penting setiap kali bercuti ke luar negara. Bagi yang bercadang ke Tokyo dalam masa terdekat boleh mencuba Mimaru Tokyo Ueno East.
Sebabnya, hotel ini terletak di lokasi yang cukup strategik. Jadi mudah untuk ke mana-mana. Stesen keretapi dan subway juga hanya beberapa meter dari hotel.
Harganya mungkin mahal bagi sesetengah orang, tetapi jika bijak membuat kiraan, korang sebenarnya boleh berjimat. Sebabnya, bilik-bilik di sini boleh memuatkan ramai tetamu dalam satu-satu masa.
Berkonsepkan Apartment hotel, setiap unit dilengkapi dengan kabinet dapur berserta induction hob, peti sejuk, ketuhar mikro dan juga pemanas air. Malah, periuk, kuali, pinggan-mangkuk dan peralatan dapur yang lain juga turut tersedia.
Terdapat lima jenis bilik yang tersedia iaitu Deluxe, Deluxe Family, Deluxe With Sofa Bed, Japanese Deluxe with Futon dan Connecting Deluxe yang boleh memuatkan sehingga lapan orang tetamu. Untuk menjamin keselesaan tetamu, setiap bilik turut dilengkapi dengan televisyen skrin rata, penyaman udara, almari baju, seterika dan papan seterika serta bilik persalinan.
Berikut fakta perlu tahu tentang Mimaru Tokyo Ueno East
1) Terletak di lokasi strategik , Ueno yang merupakan salah satu kawasan yang paling popular di bandaraya tersebut. Paling penting, hotel bertaraf 3.5 bintang ini boleh diakses dengan mudah dari lapangan terbang.
2) Stesen Keretapi Ueno hanya terletak 320 meter dari hotel, manakala Inaricho Subway Station hanya 420 meter. Ini bermakna hotel ini memberikan akses mudah ke tempat-tempat menarik yang ingin anda lawati.
3) Setiap tetamu boleh menggunakan perkhidmatan Wi-Fi secara percuma dan terdapat dobi layan diri berdekatan lobi .
4) Jika kehabisan stok makanan yang dibawa, boleh dapatkan beberapa bahan mentah atau makanan segera di kedai serbaneka 7-Eleven dan Family Mart yang terletak hanya beberapa meter dari hotel.
5) Taman paling popular di Tokyo, Ueno Park boleh dilawati dengan berjalan kaki dari hotel. Dengan keluasan sebanyak 300 ekar, Ueno Park menempatkan beberapa buah muzium, kuil-kuil, tempat-tempat suci, institusi penting dan beberapa sekolah-sekolah utama di Jepun. Jika ke sini pada musim Sakura, Ueno Park adalah tempat yang mesti dilawati.
6) Jika mahu menikmati hidangan popular Jepun seperti ramen, sushi, udon dan sukiyaki, terdapat beberapa restoran halal yang boleh dikunjungi. Salah satunya Ayam-Ya Okachimachi.
Layari https://mimaruhotels.com/en-us/ueno-east/ untuk maklumat lanjut dan tempahan secara online.
No Comments